KLANG: Kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 yang berlangsung di Taman Botani Negara Shah Alam, dekat sini, hari ini.
Berikutan kemenangan itu, Selangor muncul juara buat kali ke-10 berturut-turut dalam kejohanan tahunan berkenaan.
Tempat kedua dimenangi kontinjen Perak manakala Terengganu di tempat ketiga.
Seramai 528 pelajar mewakili 16 kontinjen dari sekolah rendah dan menengah seluruh negara menyertai kejohanan itu yang mempertandingkan enam kategori, masing-masing meliputi jarak antara 6km hingga 8km.
Sementara itu ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah, Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan, Dr Mehander Singh berkata sukan adalah wadah yang boleh menjana integrasi kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini.
"Bahagian Sukan sentiasa berusaha untuk memberi ruang dan peluang kepada semua murid terbabit dalam aktiviti sukan sekolah. Kejohanan MSSM adalah medan untuk menggilap potensi atlet seterusnya melahirkan mereka yang cemerlang," katanya.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment